ALUAN
Buat julung-julung kalinya Jurnal Bahasa, Budaya dan Warisan Melayu (J. PERTANIKA Mahawangsa) diizinkan penerbitannya secara rasmi di bawah payung Jurnal PERTANIKA Universiti Putra Malaysia. Jurnal ini dihasratkan menjadi wadah penerbitan artikel ilmiah berbentuk kupasan konsep, kritik, perbincangan hasil kajian empirikal, dan ulasan buku dalam bidang yang menyentuh kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan, warisan, dan pendidikan Melayu.
Hakikatnya tidak begitu banyak jurnal khusus mengenai Melayu yang diterbitkan. Jurnal ini cuba untuk mengisi ruang dan keperluan yang wujud, untuk menjadi wadah bagi pengkaji dan para ilmuan berkongsi idea dan pandangan mereka mengenai Melayu dan menyajikannya kepada dunia. Hasrat saya untuk melihat lebih banyak artikel ilmiah hasil daripada penyelidikan empirikal sama ada dalam bentuk makalah, kupasan konseptual, mahu pun kritikan dihasilkan oleh penulis dari segenap rantau diterbitkan dalam jurnal ini.
Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sidang editorial, para pewasit, dan penyumbang artikel yang telah menyumbang kepada usaha penerbitan jurnal ini.
Mudah-mudahan kerjasama kita diberkati Allah SWT dan jurnal ini dapat dilestarikan penerbitannya.
Professor Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad