Pengenalan
Advanced Lightning, Power and Energy Research (ALPER) sebelum ini berada di bawah dua RCoE berbeza; Centre for Electromagnetic and Lightning Protection (CELP) dan Centre for Advanced Power and Energy (CAPER). Penggabungan kedua-dua RCoE ini telah dipersetujui dan disahkan oleh Senat pada 18 September 2018 untuk menambahkan keterlihatan dan kekuatan penyelidikan masing-masing. Penyelidikan ALPER difokuskan kepada dua; i) perlindungan kilat dan voltan tinggi, dan ii) kuasa dan tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui di mana kedua-duanya sebelum ini adalah di bawah CELP dan CAPER.
CELP ditubuhkan bertujuan untuk penyelidikan dan promosi keselamatan dan perlindungan kilat. Pada awal penubuhan CELP, objektif utamanya adalah untuk meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan dan perlindungan kilat di kalangan negara-negara Asia Selatan dan negara-negara sedang membangun. Ia ditubuhkan dengan usahasama saintis dari Amerika Syarikat, Colombia, Mexico, Sweden, Sri Lanka, Malaysia, India, Bangladesh dan UAE. Dengan sokongan dan usaha tidak ternilai oleh para saintis yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat CELP, CELP kini berkembang sebagai salah sebuah institusi terkemuka di dunia dalam mempromosikan kaedah dan teknik yang terbukti secara saintifik dalam penyelidikan, pendidikan dan aplikasi kilat dalam bidang berkaitan.
CAPER telah ditubuhkan pada tahun 2012 untuk membangunkan dan menjadi barisan hadapan dalam penyelidikan dan pembangunan mengenai sistem kuasa supaya sistem kuasa elektrik yang sedia ada dan yang akan dibangunkan di Malaysia akan beroperasi secara optimum dan ekonomi (tiada bahan buangan). Pada dasarnya, ia akan menjadi pusat sehenti bagi masalah sistem kuasa elektrik. Pada masa ini, sistem kuasa elektrik dikehendaki beroperasi dalam had kestabilan kritikal hasil daripada pengenalan kepada pendekatan penyahkawalseliaan (deregulation) sistem kuasa elektrik dan grid pintar. Dengan peningkatan permintaan kuasa dan kebimbangan terhadap penggunaan bahan api fosil dalam operasi penjana konvensional, paradigma baru penjanaan tenaga elektrik secara komersial dan teknikal di seluruh dunia menjadi lebih penting khususnya tenaga boleh diperbaharui. Oleh yang demikian, kajian yang berterusan dan terperinci perlu dijalankan untuk memastikan bekalan elektrik yang sedia ada berada dalam keadaan selamat. Pusat penyelidikan ini mampu menjana harta intelek dalam bidang kejuruteraan elektrik kuasa dan penjanaan pendapatan berterusan melalui kursus-kursus jangka pendek yang akan ditawarkan, program pembangunan yang berterusan dalam pengurusan tenaga elektrik yang cekap, aktiviti perundingan dan sewaan peralatan berprestasi tinggi.