Bahasa : malay | english

SEJARAH INSTITUT PERTANIAN TROPIKA (ITA) UPM

Institut Pertanian Tropika (ITA) telah ditubuhkan pada 1 Januari 2007 yang merupakan hasil gabungan beberapa institut sedia ada di UPM termasuklah Institut Kajian Perladangan. Penubuhan Institut ini adalah hasil dari pelaksanaan proses rasionalisasi dan penambahbaikan struktur dan status institut, Akademi dan Pusat. Proses rasionalisasi ini telah dilaksanakan sebagai pendekatan yang proaktif dan usaha bersepadu yang diambil untuk mengukuhkan status UPM sebagai Universiti Penyelidikan (‘Research University’) dan untuk menjadi Pusat Kecemerlangan dalam Pendidikan Pertanian di Malaysia.

Selaras dengan misi UPM untuk mempunyai struktur pentadbiran yang cekap dan berkesan, Universiti telah mengenal pasti enam kluster baru penyelidikan iaitu: Pertanian, Makanan, Perhutanan dan Alam Sekitar, Kesihatan, Sains Sosial dan Sains, Kejuruteraan dan Teknologi, untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan di UPM. Di samping itu, UPM telah mengenal pasti lapan teras penyelidikan khusus bagi setiap kelompok, selaras dengan penekanan kerajaan dalam agenda pembangunan dan kemajuan pertanian di negara ini.

Tiga daripada lapan bidang tumpuan yang dikenal pasti, iaitu Tanaman Makanan, Tanaman Perladangan dan Produksi Haiwan menjadi bidang tumpuan penyelidikan yang dipertanggungjawabkan kepada ITA sebagai peneraju kepimpinan penyelidikannya.
Kemaskini Terakhir : Thu, 18 Dec 2014 (sarahs)