Bahasa : malay | english

POLISI DAN PERUNDANGAN

Dengan kemajuan dalam teknologi analisis, jejak farmaseutikal telah dikesan di perairan permukaan, air kumbahan, air bawah tanah serta air minuman kira-kira sedekad yang lalu. Kehadiran mereka di dalam air, walaupun dalam kepekatan yang sangat rendah, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkepentingan termasuk pengawal selia air, kerajaan, pembekal air dan orang awam, mengenai potensi risiko terhadap kesihatan manusia daripada pendedahan kepada kesan farmaseutikal melalui air minuman. Oleh itu, isu baru seperti ini harus diutamakan dalam konteks keseluruhan pengurusan terhadap keselamatan air.


Objektif utama kajian ini adalah untuk menganalisis bagaimana mitigasi risiko untuk mengurangkan tahap pendedahan air minuman tercemar oleh bahan farmaseutikal terhadap kesihatan manusia boleh diintegrasikan ke dalam rangka kerja perundangan yang ada di Malaysia.


Kajian ini bersifat kualitatif dan terbahagi kepada tiga fasa:


(i) Fasa pertama melibatkan kajian literatur relevan yang lalu dan perbincangan kumpulan Panel Pakar (FGD) untuk mengenal pasti dan menganalisis isu-isu undang-undang yang berkaitan dengan pencemar farmaseutikal dan air minuman yang selamat.


(ii) Pada fasa kedua, analisis Kandungan Klasik dari sumber-sumber undang-undang utama akan dijalankan untuk mengkaji sejauh mana undang-undang yang sedia ada memperuntukkan pencegahan pencemaran farmaseutikal dalam bekalan air, penghapusan residual farmaseutikal semasa rawatan dan perlindungan semasa pengagihan air.


(iii) Fasa ketiga juga melibatkan analisis kandungan sumber sekunder untuk menganalisis bagaimana pendekatan pelbagai halangan dapat diintegrasikan dengan rangka kerja perundangan yang sedia ada untuk mengurangkan kemungkinan pendedahan kepada farmaseutikal dalam air minum.


Hasil kajian yang dijangkakan termasuklah pengenalpastian jurang dalam undang-undang semasa mengenai perlindungan kesihatan awam terhadap air minuman tercemar farmaseutikal dan rangka kerja perundangan yang dicadangkan untuk mengatasi jurang tersebut. Hasil kajian ini juga penting untuk membantu Malaysia membangunkan undang-undang yang lebih komprehensif bagi memastikan air minuman kita selamat daripada bahan aktif farmaseutikal (API) untuk kesihatan awam.


DAPATAN KAJIAN SEMASA

Analisis data utamaundang-undang yang dikumpulkan masih dijalankan. Berdasarkan hasil analisis setakat ini, keputusan menunjukkan bahawa undang-undang Malaysia mempunyai beberapa 'halangan' dalam rangka kerja perundangan yang sedia ada, terutamanya yang berkaitan dengan perlindungan sumber air, yang dapat membantu memastikan sisa-sisa farmasi tidak sampai ke air paip kita. Selain itu, kita juga menjumpai kesukaran untuk mengawal risiko farmaseutikal dalam air minum kerana penggunaannya yang meluas dan mempunyai pelbagai laluan pelupusan. Pelbagai sumber sisa ini termasuklah sisa farmaseutikal yang dijana daripada kemudahan penjagaan kesihatan, aktiviti ternakan dan juga dari isi rumah. Undang-undang yang ada mengenai perlindungan air didapati tidak mencukupi untuk menangani risiko dari aspek-aspek ini. Pada masa ini, penyelidik masih menjalankan analisis undang-undang Wilayah Persekutuan dan Selangor yang berkaitan dengan rawatan dan pengagihan air.




Kemaskini Terakhir : Thu, 30 Aug 2018 (nur_diyana)