Bahasa : malay | english

Mesej Dari Ketua Kumpulan



Peningkatan minat dalam teknologi nano di dunia penyelidikan telah mengumpulkan pakar-pakar dari bidang sains yang berlainan seperti ahli kimia, ahli biologi, ahli fizik, pakar-pakar perubatan, ahli matematik, jurutera dan saintis komputer dalam mereka bentuk bahan dan peranti berstruktur nano. Bidang penyelidikan nanoteknologi adalah terdiri daripada bahan nano, tenaga nano, agronanokimia dan nanoperubatan. Bahan nano melibatkan sintesis graphene, nanotuib karbon, nanopartikel dan nanokomposit untuk pelbagai aplikasi seperti sistem rawatan air, fotopemangkinan dan lain-lain. Selain itu, penyediaan hybrid yang terdiri daripada hidroksida berlapis dan bahan-bahan karbon atau chitosan perlu diambil perhatian. Bahan perubahan fasa untuk penyimpanan tenaga haba juga telah memperoleh perhatian yang besar. Pengaplikasian kaedah yang berbeza dalam penyediaan sampel seperti sintesis bertemplat telah dijalankan untuk mengawal saiz partikel dan taburan saiz partikel, komposisi galeri berlapis, dan morfologi partikel. Sampel yang disintesis untuk digunakan sebagai bahan penyimpanan tenaga seperti bateri atau kapasitor elektrokimia turut dilakukan. Agronanokimia juga diberi penekanan kerana bidang ini telah menjadi satu keperluan untuk membangunkan agrokimia larut air yang konvensional (baja atau racun perosak) dengan satu lapisan perlindungan yang tidak larut atau kurang larut yang dapat mengawal penembusan air dan kadar keterlarutan untuk menyelaraskan pengeluaran dan kadar penggunaan medium. Tidak dapat dinafikan bahawa nanoperubatan hari ini telah dipelbagaikan kepada banyak cabang dan setiap daripada cabang tersebut mempunyai keupayaan untuk menstrukturkan bahan dan peranti yang boleh menyumbang kepada dunia penyelidikan yang semakin berkembang dan memperoleh manfaat daripada bidang perubatan. Satu perkembangan yang ketara yang dapat dilihat dalam bentuk " nanoperubatan" adalah dalam pengedaran taburan ubat yang disasarkan. Nanopartikel bertindak sebagai pengangkut bagi meningkatkan penyebaran bio-perubatan ke atas tisu berpenyakit tanpa merosakkan tisu yang sihat. Sistem penyebaran ubat berasaskan nanopartikel telah digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti kanser, batuk kering, penyakit kardiovaskular dan lain-lain. Matlamat utama pembawa nano ini adalah untuk menggalakkan penghantaran tempatan atau pengedaran langsung bagi memudahkan penghantaran ubat ke dalam sel-sel sasaran dan dapat memanjangkan kesan ubat dan mengurangkan kesan negatif ke atas aliran darah. Oleh itu, adalah diharapkan bahawa pengenalan ringkas ini tentang bidang penyelidikan nano dapat membantu dalam mengembangkan atau mempelbagaikan bidang teknologi nano di Institut Teknologi Maju, Universiti Putra Malaysia.



Sekian. Terima kasih.


Prof. Dr. Mohd Zobir Hussein

Ketua Kumpulan Bahan Nano

Laboratori Sintesis dan Pencirian Bahan

Institut Teknologi Maju

Universiti Putra Malaysia


Kemaskini Terakhir : Wed, 07 Oct 2015 (marzieana3)